wong kah woh
Wong Kah Woh

KUALA LUMPUR — Tindakan susulan yang diambil oleh Kementerian Kewangan dan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) terhadap syor-syor Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen membuktikan bahawa semua cadangan dan rumusan itu telah diberi perhatian sewajarnya dan tidak dipandang ringan.

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata jawatankuasa tersebut telah membentangkan laporan berhubung tindakan susulan MOF terhadap syor-syor PAC membabitkan kerugian pelaburan Khazanah di Dewan Rakyat, hari ini.

“Pembentangan itu adalah hasil daripada syor yang dikemukakan PAC dalam laporan mengenai kerugian pelaburan Khazanah Nasional yang telah dibentangkan pada 23 Oktober lepas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata susulan itu pada 10 November lepas, Kementerian Kewangan dan Khazanah telah membentangkan tindakan susulan yang diambil terhadap syor-syor berkenaan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Kewangan dan Khazanah kerana berjaya menepati tempoh masa ditetapkan selama tiga bulan untuk memberi maklum balas terhadap segala syor dikemukakan PAC.

“Ini juga sekali gus membuktikan bahawa PAC berjaya menjalankan fungsi dan tanggungjawabnya untuk memastikan segala urusan kewangan, tatacara dan prosedur kerajaan dipatuhi seperti yang termaktub dalam undang-undang,” katanya.- BERNAMA

1 Komen

Comments are closed.