Rokok seludup bernilai RM43,000 yang dikesan dan dirampas oleh polis Dang Wangi selain menahan lelaki tempatan berusia 60 tahun bersama van dalam sekatan jalan raya PKPB di Jalan Chow Kit ibu negara semalam.

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang lelaki tempatan yang memandu sebuah van jenis Daihatsu dalam keadaan mencurigakan berjaya membawa kejayaan rampasan rokok putih seludup di ibu negara.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, kegiatan suspek dikesan pada 30 November lalu ketika pasukan pemantau Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) IPD Dang Wangi terlibat tugas Sekatan Jalan Raya (SJR) di Jalan Sri Amar, Chow Kit.

“Polis telah menahan sebuah van jenis Daihatsu yang dipandu oleh seorang lelaki warga tempatan dalam keadaan mencurigakan di sekatan jalan raya di Chow Kit.

“Hasil pemeriksaan telah menjumpai sebanyak 188 karton yang mengandungi 37,600 batang rokok putih pelbagai jenama di dalam van tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohamad Zainal, nilai rampasan keseluruhan barang seludup itu adalah dianggarkan berjumlah RM 43,680.

Malah, katanya polis turut menahan pemandu van itu yang berumur dalam lingkungan 60 tahun dan direman sehingga esok untuk tindakan siasatan lanjut di bawah Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967 [Akta 235].

“Pihak PDRM memohon kerjasama daripada masyarakat untuk menyalurkan sebarang maklumat berkenaan penjualan rokok seludup di kawasan sekitar daerah Dang Wangi,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi IPD Dang Wangi di talian 03-2600 2222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran. -MalaysiaGazette