Lokasi kejadian rempuhan di Trier, Jerman yang mengakibatkan lima maut dan 15 orang cedera. foto Agensi

BERLIN – Lima orang termasuk seorang bayi  terbunuh dan kira-kira 15 orang cedera apabila sebuah kereta yang dipandu laju terbabas lalu merempuh kawasan laluan pejalan kaki di bandar Trier, Jerman.

Saksi-saksi berkata, orang ramai yang panik menjerit selepas melihat ada mangsa yang melambung ke udara selepas di rempuh.

“Kami berjaya menangkap seorang dan menghentikan sebuah kereta,” kata polis.

Suspek, 51, seorang warga Jerman telah ditahan dan kini sedang disiasat.

Pendakwaraya, Peter Fritzen dalam sidang media berkata, suspek dipercayai mengambil alkohol dalam jumlah yang banyak.

Suspek didakwa menghabiskan beberapa malam di dalam kenderaan dan tidak mempunyai alamat tetap, kata Timbalan Ketua Polis Trier, Franz-Dieter Ankner.

Kenderaan yang digunakan oleh suspek didaftarkan atas nama orang lain.

Datuk Bandar Trier, Wolfram Leibe mengesahkan, bayi sembilan bulan antara mangsa yang maut dalam kejadian itu.

Katanya, pihak berkuasa akan meneliti tahap kesihatan mental suspek sebelum mensabitkannya dengan kesalahan jenayah.

Dua wanita masing-masing berusia 25 dan 73 tahun serta seorang lelaki, 45 juga terbunuh.

Mangsa terakhir yang disahkan maut adalah wanita berusia 52 tahun.

Beberapa mangsa yang cedera turut dilaporkan dalam kritikal. – MalaysiaGazette