Sidang video antara Muhyiddin Yassin dan Lee Hsien Loong yang diadakan hari ini. Gambar FB Perdana Menteri.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Malaysia dan Singapura akan membuat pengumuman mengenai perincian Projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) pada masa yang sesuai.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Lee Hsein Loong selepas kedua-dua pemimpin itu mengadakan sidang video hari ini berhubung projek berkenawn.

Perbincangan itu diadakan menjelang tarikh akhir penangguhan projek berkenaan pada 31 Disember ini.

”Kedua-dua Perdana Menteri membuat penilaian mengenai kemajuan perbincangan dan memperoleh pemahaman yang baik mengenai kedudukan Malaysia dan Singapura,” kata kenyataan bersama oleh kedua-duanya.

Lee dan Muhyiddin juga menegaskan, hubungan kukuh dua hala antara kedua-dua negara merangkumi banyak bidang kerjasama untuk memperkukuhkan lagi hubungan ini untuk kepentingan bersama.

Pada bulan lalu, Malaysia mengatakan mahu meneruskan projek HSR kerana projek berkenaan memberi “kesan pengganda positif” ke atas ekonomi.

Kenyataan itu dibuat susulan keputusan yang dicapai pada bulan September 2018 oleh Singapura dan Malaysia untuk menangguhkan pembinaan HSR hingga akhir Mei tahun ini.

Malaysia kemudian meminta lanjutan tujuh bulan lagi untuk membolehkan kedua-dua pihak berbincang dan menilai perubahan yang dicadangkan oleh Malaysia terhadap projek tersebut.

Khaw Boon Wan, yang ketika itu Menteri Pengangkutan Singapura, bersetuju melanjutkan tempoh penangguhan hingga 31 Disember ini. – MalaysiaGazette