Azhar Azizan Harun

KUALA LUMPUR – Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun tidak dapat memastikan kejadian menunjukkan ‘jari tengah’ oleh Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan Komoditi, Willie Mongin telah berlaku semalam.

Beliau berkata, ini kerana rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan perlakuan yang didakwa itu tidak jelas.

“Justeru, saya tidak pasti sama ada ia berlaku atau tidak dan semalam saya juga ada pertemuan dengan Timbalan Menteri dan beliau menafikannya,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Sementara itu, Khoo Poay Ting (PH-Kota Melaka) yang mencelah sedia mengemukakan video yang jelas mengenai perlakuan menunjukkan ‘jari tengah’ kepada Speaker Dewan Rakyat.

Azhar menghargai kerjasama Koay dan Ahli Parlimen Kota Melaka itu diminta mengemukakan video tersebut kepada beliau selepas persidangan Dewan Rakyat.

“Terima kasih Kota Melaka, saya jemput ke kamar saya untuk kemukakan video berkenaan,” katanya.

Menjawab celah Datin Dr Tan Yee Kew (PH-Wangsa Maju) yang mengakui paling jelas melihat perlakuan tidak sopan itu, Azhar menegaskan, beliau sudah membuat keputusan dan tidak memerlukan keterangan saksi.

Sementara itu, Lim Lip Eng (PH-Kepong) meminta Speaker menggunakan keterangan saksi kejadian dan tidak bergantung semata-mata kepada bukti CCTV sebagaimana dilaksanakan di mahkamah.

Azhar menyatakan perkara itu tidak perlu dan beliau mahu melihat dahulu video yang bakal dikemukakan Ahli Parlimen Kota Melaka.

Mengenai cadangan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) supaya rakaman CCTV itu ditayangkan semula di Dewan Rakyat, Azhar menyatakan perkara itu tidak perlu. – MalaysiaGazette