Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah Covid-19 cases deaths Malaysia
Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA – Petugas-petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di Sabah akan digerakkan ke negeri-negeri yang menghadapi lonjakan kes positif Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah menjelaskan, langkah itu bagi memenuhi keperluan mendesak di Selangor dan Negeri Sembilan.

“Petugas-petugas yang ada di Sabah boleh digerakkan ke Selangor untuk membantu. Tapi kita lihat di Selangor jangkitan adalah bersasar di lokaliti iaitu Kluster Teratai, jadi kita lakukan saringan kepada semua pekerja-pekerja hampir 11,215 melibatkan pekerja warganegara dan bukan warganegara,” katanya.

Keputusan itu dibuat selepas pihaknya ada menerima permohonan berkenaan dari Selangor dan Negeri Sembilan berikutan peningkatan kes Covid-19 di kedua-dua negeri itu ketika ini.

Noor Hisham berkata, jumlah petugas yang berada di Sabah kini adalah sebanyak 1,110 orang, yang mana 920 orang untuk perubatan, dan 90 orang kakitangan untuk kesihatan awam.

Katanya lagi, KKM sememangnya cuba menggerakkan kakitangannya apabila sesebuah daerah mencatatkan peningkatan jangkitan Covid-19.

“Kita gerakkan kakitangan dalam Selangor untuk bantu saringan di beberapa kawasan berisiko iaitu 59 anggota perubatan dan 57 anggota kesihatan awam digerakkan secara dalaman manakala seramai 64 anggota kesihatan awam juga digerakkan dari negeri lain.

“Kita juga menggerakkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersama KKM untuk ke Selangor, contohnya Imam Response & Relief Team (IMARET), Mercy Malaysia dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia,” katanya.

Bercakap mengenai perkembangan terkini di Kluster Teratai, Noor Hisham berkata, kluster yang melibatkan pekerja kilang Top Glove itu sudah memasuki generasi kedua dengan menjangkiti seramai 152 individu dalam komuniti.

Sebelum ini, Noor Hisham berkata, seramai 164 pekerja dalam kluster itu adalah dalam kalangan warganegara Malaysia dan mereka tidak tinggal di asrama pekerja kilang itu.

“Setakat 2 Disember, dianggarkan sebanyak 152 kes positif Covid-19 dilaporkan di peringkat komuniti dan di luar kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang membabitkan Kluster Teratai, membabitkan Selangor dan Kuala Lumpur.

“Kita lihat sekarang ini, bukan warganegara duduk di asrama dan penginapan disediakan majikan tetapi ada 164 warganegara yang duduk di rumah masing-masing. Apabila ada yang dijangkiti, mereka menjangkiti ahli keluarga.

“Kita dapati sudah ada dua generasi jangkitan yang membabitkan ahli keluarga,” katanya lagi. – MalaysiaGazette