Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee bercakap kepada media selepas selesai Majlis Penyampaian Geran Agroprenuer Muda di Wisma Tani, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 13 MEI 2020.

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa Kementerian Pertanian dan Industri Makanan melalui undian suara.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon berkata, keputusan ahli Parlimen menunjukkan lebih kepada bersetuju berdasarkan peraturan mesyuarat.

“Ahli yang berhormat, perbelanjaan RUU Kementerian Pertanian dan Industri Makanan bagi peringkat jawatankuasa dijadikan sebahagian daripada anggaran perbelanjaan,” katanya.

Sebelum itu, sesi penggulungan dilakukan oleh menterinya, Datuk Ronald Kiandee melibatkan anggaran perbelanjaan pembangunan dan pengurusan sebanyak RM4,790,428,000.

Setakat ini, Parlimen telah meluluskan belanjawan untuk enam kementerian dalam undian peringkat jawatankuasa. – MalaysiaGazette