PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

KANGAR – Seramai 15 lagi lelaki warga tempatan ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung insiden berbalas tembak dengan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di sempadan Malaysia-Thailand minggu lalu.

Perintah reman selama tujuh hari hingga 9 Dis itu dikeluarkan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kangar Siti Nor Hasliza Md Ali di sini hari ini.

Terdahulu, 14 daripada suspek yang  berusia dalam lingkungan 20 hingga 40-an tiba di mahkamah pada 10.05 pagi dalam keadaan bergari, manakala seorang lagi sedang dirawat di Hospital Tuanku Fauziah di sini.

Perkara itu disahkan Ketua  Polis Perlis Datuk Surina Saad ketika dihubungi  Bernama.

Perintah reman terbaharu itu menjadikan seramai 37 suspek telah ditahan setakat ini bagi membantu siasatan kes menurut Seksyen 302 dan 307 Kanun Keseksaan kerana membunuh serta cubaan membunuh.

Dalam kejadian awal pagi 24 Nov lepas, seorang anggota PGA, Sarjan Baharuddin Ramli, 54, terkorban manakala rakannya Sarjan Norihan a/l Tari, 39, cedera parah selepas berbalas tembak dengan sekumpulan penyeludup, kira-kira 600 meter dari pos kawalan TS9 di Padang Besar.

— BERNAMA