Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin bercakap pada sidang media Pengurusan Pekerja Asing di Kementerian Sumber Manusia, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 03 DISEMBER 2020

PUTRAJAYA – Kerajaan bersetuju untuk menangguhkan pelaksanaan levi pelbagai peringkat daripada 1 Januari 2021 kepada 1 Julai 2021 berikutan impak pandemik Covid-19 yang melanda negara.

Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, pihaknya yang bermesyuarat bersama-sama Kementerian Sumber Manusia (KSM) membuat keputusan itu kerana virus tersebut telah menjejaskan pertumbuhan industri dan membantutkan operasi perniagaan.

“Mesyuarat hari ini juga telah memutuskan supaya kadar levi dalam pelbagai peringkat bagi sektor itu dikaji semula bagi memastikan keberkesanan pelaksanaannya kelak,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sidang media itu turut dihadiri Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan.

Sebelum ini, kerajaan Pakatan Harapan (PH) membuat keputusan mekanisme levi pelbagai peringkat bagi penggajian pekerja asing untuk semua sektor dilaksanakan bermula Januari 2020.

Ketika itu Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelaksanaan tersebut akan mengambil kira aspek integrasi data, kesediaan pihak kerajaan dan majikan sebelum ia dikuatkuasakan.

Hamzah berkata, pihaknya juga telah berbincang tentang cadangan menutup penggajian pekerja asing bagi subsektor beku logam, barang lusuh dan kitar semula.

Jelas beliau, kerajaan telah bersetuju untuk penggajian pekerja asing bagi subsektor ini ditutup dengan pelan pengurangan dan pemberhentian penggajian pekerja asing secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Justifikasi penutupan adalah berdasarkan kepada keutamaan penggajian pekerja tempatan, pengurangan pelesenan dalam subsektor logam, barang lusuh serta kitar semula dan transformasi industri ke arah mekanisasi dan automasi.

“Kita juga telah bersetuju supaya penggajian pekerja asing bagi jawatan tukang emas dipertimbangkan bawah Pas Lawatan Ikhtisas (PVP) yang bertujuan melatih tukang emas tempatan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Hamzah berkata, pihaknya telah bersetuju untuk meneliti cadangan supaya majikan daripada kalangan syarikat-syarikat besar dibenarkan untuk membiayai kos penghantaran pulang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang berada dalam tahanan depot.

“Sebagai timbal balas, syarikat akan diberikan kuota penggajian pekerja asing yang baharu melalui tapisan yang ketat mengikut prosedur operasi standard Covid-19,” ujarnya. – MalaysiaGazette