Operasi judi online di perumahan bertingkat di Puchong.

SERDANG – Polis menahan tujuh individu di sebuah apartmen di Taman Seri Puchong, Puchong dalam Ops Dadu bagi membenters judi dalam talian malam semalam.

Ia seorang lelaki Indonesia yang merupakan penjaga premis, dua pekerja lelaki warga Myanmar dan tiga lelaki Bangladesh yang datang bermain judi atas talian.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, pihaknya turut merampas empat buah komputer riba, sebuah telefon bimbit dan sebuah modem.

“Kesemua disiasat di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 untuk tindakan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, mereka akan direman dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.

Ditanya sindiket judi atas talian mula menukar modus operandi dengan menjalankan kegiatan itu di apartmen atau kondominium gara-gara asyik diserbu pihak berkuasa, Razali berkata, sindiket sanggup melakukan apa sahaja demi ke;angsungan kegiatan itu.

“Mereka berbuat demikian dengan keyakinan polis tidak boleh mengesan mereka tetapi tanggapan mereka sebenarnya salah.

“Kalau dia pergi buka operasi di tingkat teratas mana-mana bangunan pun tidak boleh terlepas dari mata ‘helang’ polis yang sentiasa memantau kegiatan haram mereka ini,” katanya. – Malaysiagazette