Kem pelarian Rohingya di Cox's Bazar. foto Agensi

DHAKA – Kumpulan hak asasi manusia mendesak Bangladesh untuk menghentikan rancangannya untuk menghantar ribuan pelarian Rohingya ke sebuah pulau terpencil.

Difahamkan seramai 400 orang pelarian dalam kumpulan pertama akan ke pulau itu.

Polis mengiringi 10 buah bas dari Ukhiya di Cox’s Bazar untuk perjalanan ke pelabuhan Chittagong dan kemudian ke Bhasan Char – sebuah pulau di Teluk Bengal yang wujud 20 tahun yang lalu.

Bangladesh mendakwa persetujuan pelarian berpindah ke pulau itu akan mengurangkan kesesakan kronik di kem yang menempatkan lebih daripada 1 juta Rohingya.

Mereka merupakan pelarian yang melarikan diri dari Myanmar.

“Pihak berkuasa harus segera menghentikan perpindahan pelarian ke Bhashan Char,” kata juru kempen Amnesty International Asia Selatan, Saad Hammadi dalam satu kenyataan.

Refugees International yang berpangkalan di Amerika Syarikat oyka mendakwa tindakan itu tidak berperikemanusiaan.

Sementara Fortify Rights Group menyifatkan pelarian dipaksa berpindah, justeru tindakan itu perlu dihentikan segera.

Namun, jurucakap Kerajaan Bangladesh mendakwa, penempatan semula itu adalah secara sukarela.

“Mereka pergi ke sana dengan gembira. Tidak ada siapa yang dipaksa. Kerajaan telah mengambil semua langkah untuk menangani bencana, termasuk kehidupan yang selesa,” katanya.

Pegawai Bangladesh mengatakan, 400 daripada 2,500 pelarian pertama akan berangkat pada hari Khamis petang, bergantung pada arus.

Perjalanan ke pulau itu memakan masa beberapa jam.

Lebih daripada 730,000 orang Rohingya melarikan diri dari Myanmar pada tahun 2017 berikutan tindakan keras pimpinan tentera yang dituduh oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai pembunuhan etnik.

Myanmar menafikan dakwaan itu sebaliknya mendakwa pasukan keselamatannya menjadi sasaran pemberontak Rohingya.

Seorang pegawai kanan Bangladesh berkata, kerajaannya telah membina perumahan untuk 100,000 orang di pulau itu dan pihak berkuasa mahu memindahkan pelarian pada musim kering dari November hingga April ketika laut tenang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast