Lokasi kejadian anggota polis URB Kajang dilanggar lari oleh tiga suspek yang sedang menunggu bekalan dadah.

KAJANG – Cubaan tiga lelaki yang melarikan diri dengan memecut kereta selepas melanggar seorang polis peronda bermotosikal (URB) yang membuat pemeriksaan mengejut tidak kesampaian apabila dua dompet milik mereka ditemui di dalam kereta yang ditinggalkan di Kampung Sentosa Paroi, Seremban.

Kejadian itu berlaku apabila seorang peniaga keropok dan mekanik motosikal serta rakannya memakir kereta Proton Iswara warna Jingga di hadapan sebuah kedai tayar dalam keadaaan mencurigakan.

Ketiga-tiga individu berusia 25 hingga 44 tahun itu berasal dari Paroi, Negeri Sembilan.

Mereka dikatakan datang dari Paroi ke Kajang untuk mendapatkan bekalan barang dadah.

“Tiga anggota polis itu berhenti berhampiran kereta tersebut sebelum mendekati kereta suspek untuk membuat pemeriksaan.

“Mereka sebenarnya menunggu untuk menerima bekalan dadah daripada seorang individu. Namun, polis yang membuat pemeriksaan tidak menemui sebarang barang mencurigakan.

“Ketika hendak berlalu dalam keadaan tergesa-gesa itu, suspek telah melanggar motosikal Kawasaki 250 yang dinaiki oleh seorang anggota lalu menyeretnya lebih kurang sejauh lima meter sebelum memecut laju melarikan diri,” kata sumber polis kepada MalaysiaGazette.

Dua lagi anggota URB terus mengejar kereta suspek yang dipandu dengan cara bahaya, pada masa sama meminta bantuan unit kereta peronda MPV yang kebetulan berada di Lebuhraya Lekas menghala Semenyih.

Polis telah mengejar kenderaan tersebut sehingga di Jalan Sungai Jai, Negeri Sembilan sebelum kereta suspek hilang jejak.

Kereta MPV yang terus mengejar kereta berkenaan mendapati kenderaan tersebut  ditinggalkan di tepi sebuah rumah di Kampung Sentosa Paroi, Seremban dan ketiga-tiganya lari ke kawasan semak.

Pemeriksaan yang dijalankan menemui dompet yang mengandungi salinan kad pengenalan diri bernama Samsuri Elias, 44, beralamat Pangsapuri Sri Perdana Paroi, Seremban.

Turut ditemui dua kad ATM dan lesen memandu di atas nama Abdul Muhaimin Asmara @ Hamdan, 33, beralamat di Kampung Jiboi Baru Ampangan, Seremban.

Berdasarkan maklumat tersebut, polis berjaya menjejaki dua suspek yang bersembunyi di sebuah lokasi yang dijadikan tempat pengagihan dadah sekitar 2 pagi pada 1 Disember lalu,

Seorang lagi masih bebas dan sedang dikesan.

Suspek yang berniaga keropok itu akan dituduh di Mahkamah Majistret Kajang esok di bawah Seksyen 186 dan 322 Kanun Keseksaan atas kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan cuba melanggar dan mencederakan polis, selain Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya di atas jalan.

Manakala mekanik itu akan menjadi saksi pendakwa. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast