KUALA LUMPUR – Perak FC dilihat memperkuatkan jentera pertahanan apabila membawa masuk bekas pemain UiTM FC, Muhammad Danish Haziq Saipul Hisham dengan perjanjian kontrak selama setahun.
Kemasukan pemain bek kanan berusia 23 tahun itu ke dalam pasukan bakal memberikan persaingan sihat buat pemain utama di posisi tersebut, Amirul Azhan Aznan.
Beberapa musim kebelakangan ini, Perak dilihat bergantung harap kepada pemain yang lebih selesa berperanan sebagai pertahanan tengah, Mohd Idris Ahmad untuk beraksi sebagai bek kanan sekiranya Amirul Azhan mengalami kecederaan atau digantung perlawanan.
Namun, kehadiran pemain yang pernah membarisi skuad remaja kebangsaan ini mampu memperkukuhkan lagi jentera pertahanan pasukan Perak bagi menghadapi saingan musim baharu.
Sebelum bersama UiTM FC pada musim 2020, Danish Haziq pernah menyarung jersi skuad Harimau Muda C dan Negeri Sembilan. – MalaysiaGazette