Foto Ihsan SPRM.

LAPOR rasuah atau dihukum!

Inilah perkara yang perlu diterapkan di minda setiap warganegara ini.

Jika sebelum ini, peringatan kegagalan melaporkan rasuah itu boleh dianggap sebagai amaran sahaja, namun kini perkara tersebut telah diambil tindakan sewajarnya.

Buktinya, baru-baru ini seramai lima kakitangan Kementerian Kewangan telah dihukum denda oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas mengaku salah tidak melaporkan kepada pihak berkuasa setelah ditawarkan rasuah.

Mereka menjadi individu pertama yang didakwa gagal melaporkan tawaran kes rasuah mengikut Seksyen 25(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Ketika masih ramai yang bercerita rasuah di sana sini, SPRM terus bertindak mengikut lunas undang-undang bagi membuktikan kita boleh melakukan apa saja usaha dalam usaha mencegah rasuah berdasarkan peranan masing-masing.

Tindakan mencegah rasuah di Malaysia ini jika diamati sebenarnya telah mencakupi semua aspek hinggakan kegagalan melaporkan pun dikira sebagai satu kesalahan jenayah.

Sebab itulah, kewujudan Seksyen 25 Akta SPRM ini telah mendapat pengiktirafan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) sebagai salah satu amalan baik menerusi Laporan Hasil Penilaian Kumpulan Semakan Pelaksanaan (IRG) Ke atas Pematuhan Terhadap Bab III dan IV Konvensyen PBB Pencegahan Rasuah (UNCAC) pada 2014.

Malah tidak keterlaluan jika dikatakan Malaysia merupakan satu-satunya negara di dunia yang memperuntukkan undang-undang bagi kesalahan seumpama ini.

Oleh itu, pertuduhan terhadap pegawai Kementerian Kewangan ini perlu dijadikan iktibar dan peringatan buat semua.

Dalam bahasa mudahnya, bukan sahaja menolak rasuah, malah jangan lupa kita mempunyai satu lagi tanggungjawab iaitu melaporkannya.

Jika tidak, kita juga adalah penjenayah sama seperti pemberi dan penerima rasuah.

Namun begitu, sering kita dengar terdapat masyarakat yang takut melaporkan atau menyampaikan maklumat kepada SPRM kerana tidak mahu mengambil sebarang risiko akan kesan laporan itu.

Sebenarnya, di sebalik ketakutan kita itu, lebih banyak mudarat besar yang akan berlaku jika jenayah rasuah itu terus berlaku.

Umum mengetahui, rasuah yang dianggap sebagai ibu segala jenayah adalah punca berlakunya isu-isu dadah, pelacuran dan sindiket-sindiket jenayah lain.

Bukan itu saja, pilihan kita untuk melaporkan rasuah itulah yang akhirnya membezakan kita antara menjadi hero atau penjenayah.

Telah banyak kita dengar orang ramai khususnya penjawat awam yang menerima pengiktirafan atau ganjaran kerana melaporkan rasuah. Pilihan di tangan kita.

Jadi kenapa perlu memilih kesengsaraan sedangkan kita punyai peluang untuk menikmati kebahagiaan sebenar.

Kebahagiaan yang lebih besar ialah kita membantu negara kita kekal dalam keadaan aman dan selamat tanpa jenayah seterusnya aspirasi nasional yang digarap menerusi Pelan Antirasuah Nasional (NACP) iaitu “Malaysia dikenali kerana integriti dan bukannya rasuah” dapat dicapai.

Jadi, yakinlah SPRM sentiasa memastikan kerahsiaan maklumat yang diberikan dan pemberi maklumat adalah dilindungi serta tidak boleh didedahkan kepada mana-mana pihak dalam apa jua keadaan.

Ingat! rasuah mesti dianggap sebagai suatu perbuatan jijik, memalukan, tidak dapat dimaafkan, berdosa dan mesti ditolak.- MalaysiaGazette

Shamshun
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Shamsun Baharin Mohd Jamil.

Datuk Seri Shamsun Baharin Mohd. Jamil, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM