KUALA LUMPUR – Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan memberi amaran supaya jangan sesekali menuding jari atau membuat dakwaan sesuka hati tanpa sebarang usul periksa terlebih dahulu kepadanya.

Timbalan Presiden MIC itu menegaskan dirinya tidak pernah menyalahgunakan kuasa seperti yang dituduh oleh Dewan Perniagaan Minoriti (MBC) kononnya dirinya telah pangkat serta kedudukan untuk mempertahankan imej MIC.

Sebaliknya kata Saravanan, beliau menggunakan kapasiti sebagai Menteri Sumber Manusia mengingatkan Muhamad Sanusi Md Nor bagaimana Menteri Besar Kedah itu mungkir janji ketika satu pertemuan pada Julai lepas isu perobohan kuil.

“Dalam kenyataan saya, saya tidak menyebut tentang MIC sebaliknya tentang janji Menteri Besar Kedah berhubung perobohan kuil di negeri itu. Kata Muhamad Sanusi ketika itu, beliau akan memaklumkan tentang sebarang perobohan terlebih dahulu.

“Janji ini juga dibuat bukan sahaja kepada saya sebaliknya dalam pertemuan itu hadir sama ialah Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique yang perlu dimaklumkan seandainya ada kuil mahu dirobohkan.

“Dalam kenyataan yang menggunakan kepala surat itu hanya menceritakan tentang pertemuan pada 26 Julai, saya hadir atas kapasiti Menteri Sumber Manusia dan juga ingin ingatkan anda, saya juga memainkan peranan dalam Wakaf Hindu.

“MBC juga mungkin tidak menyedari saya hanya menyatakan kekecewaan bagaimana Menteri Besar mungkir janji yang mungkin akan mengakibatkan kemarahan masyarakat India kerana rasa tertipu.

“Saya tidak gunakan kedudukan saya untuk menjadi perisai MIC sebaliknya saya menyoal Menteri Besar tentang janji beliau serta sentimen masyarakat India juga meminta Pas menyatakan pendirian mereka dalam isu-isu membabitkan perobohan kuil.

“Saya tidak salah guna kuasa cuba mempertahankan MIC mahupun bertelagah malah tidak pula bercakap apa-apa atau menyoal Muhamad Sanusi tentang pengharaman MIC, jadi apa masalah di sini?” soalnya.

Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah (BN) berkata demikian kepada MalaysiaGazette mengulas kenyataan MBC yang memberi peringatan kepada beliau untuk tidak menggunakan nama kementerian dan pangkat beliau selaku Menteri Sumber Manusia sebagai perisai untuk mempertahankan imej MIC.

Jelas Saravanan lagi, ada baiknya untuk MBC menarik balik kenyataan itu dan memohon maaf dengan segera kerana sengaja mengeruhkan keadaan atas nama publisit murahan. 

“Ini bukan satu kepentingan mahupun keperluan jadi tidak perlu tunjuk ‘hero’ di sini. Tahu dan fahami fakta dahulu. Baca balik kenyataan saya. Jangan main cakap sahaja, fikir sikit ini untuk rakyat bukan untuk agenda peribadi. 

“Saya minta tarik balik cubaan mencalar imej saya sebagai Menteri Sumber Manusia. Tindakan Menteri Besar Kedah sebenarnya telah memberikan implikasi negatif sehingga menyebabkan rata-rata bukan Islam dalam kebimbangan.

“Itu adalah kebimbangan saya juga kerana isu seperti ini perlu dirunding terlebih dahulu dan itulah yang telah dijanjikan oleh Menteri Besar Kedah tapi lain pula yang terjadi kerana sebuah kuil berusia 30 telah di robohkan tanpa berbincang.

“MBC tidak perlu melompat jika tidak tahu fakta, saya nasihat supaya jangan keruhkan keadaan ketika ini,” tegasnya. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

MBC tegur Saravanan guna kepala surat kementerian ulas isu politik