Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Lima warga China termasuk dua wanita yang menggerakkan operasi markas pusat panggilan judi dalam mensasarkan pelanggan warga China terbongkar apabila berjaya ditangkap dalam operasi semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, dalam serbuan dan pemeriksaan di sebuah kondominium mewah di Riverville Residensi, Jalan Sri Sentosa di Taman Sri Sentosa, Jalan Klang Lama, mendapati tiga lelaki dan dua wanita warga China disyaki menjalankan kegiatan perjudian dalam talian.

Menurutnya, serbuan itu dilakukan petang semalam membabitkan pasukan pegawai dan anggota polis daripada Bahagian D7 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur.

“Mereka mensasarkan pelanggan atau mangsa warganegara China.

“Pakar judi dari D7 iaitu Inspektor Ahmad Hafizuddin Mohd Amin bersama dengan pegawai dan anggota Forensik Bukit Aman yang diketuai oleh ASP Mohd Zaidi telah menganalisa ke atas komputer yang dijumpai di dalam premis.

“Setelah analisa dijalankan, mereka mendapati terdapat unsur-unsur yang boleh disyaki berkaitan perjudian dalam talian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, hasil soal siasat ke atas kesemua suspek, mereka mengaku baru sebulan membuka operasi pusat judi dalam talian itu.

Kesemua suspek berusia 17 hingga 43 tahun telah ditangkap untuk siasatan lanjut.

Malah, mereka juga tidak mempunyai dokumen perjalanan sah untuk memasuki ke negara ini, ujarnya.

Dalam serbuan itu, polis merampas lapan buah laptop jenama Acer, sebuah set komputer jenama Mbox, sebanyak 42 buah telefon bimbit pelbagai jenama, satu unit modem D-Link, seunit Router, dua unit Unifi, 18 Enternal Transfer, sembilan unit tetikus, dan tujuh unit kabel pengecas.

Siasatan dibuat di bawah Seksyen 4 (1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

Menurut Anuar, polis masih meneruskan siasatan untuk menentukan wujud penglibatan warga tempatan dan saki baki suspek. – MalaysiaGazette