Keadaan bas yang terjunam dari jambatan Joao Monlevade, di Minas Gerais, Brazil. foto Agensi

SAO PAULO – Sekurang-kurangnya 14 orang terbunuh dan 26 yang lain cedera apabila sebuah bas penumpang terjunam dari sebuah jambatan setinggi 15 meter di Joao Monlevade, di Minas Gerais di tenggara Brazil.

Menurut Polis Lebuhraya Persekutuan, bas itu terbabas dari jambatan ketika cuba mengelakkan daripada melanggar sebuah trak.

Namun siasatan lanjut sedang dilakukan.

Media melaporkan pemandu bas sempat melompat keluar dari bas berkenaan sebelum bas terjunam di kawasan laluan lintasan kereta api.

Daripada jumlah mangsa yang maut, 11 orang mati di tempat kejadian dan tiga lagi meninggal semasa dalam perjalanan ke hospital.

Tiga orang yang cedera parah dibawa ke sebuah hospital di Belo Horizonte.

Tragedi ini berlaku selepas 41 orang terbunuh selepas sebuah bas bertembung dengan sebuah trak di Taguai, di Sao Paulo. – MalaysiaGazette