Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Nik Ezanee Mohd Faisal.

PETALING JAYA – Enam suspek lelaki warga tempatan yang bekerja sebagai penghantar makanan ditahan kerana disyaki  merogol seorang gadis di sebuah hotel di sini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, mangsa mendakwa dirogol kira-kira jam 12 tengah hari pada 2 Disember lalu.

Mangsa telah mengadu tentang kejadian tersebut kepada kakak kandungnya.

“Mangsa mendakwa dirinya dirogol enam lelaki penghantar makanan yang dikenalinya menerusi seorang rakan perempuannya.

“Bertindak atas maklumat itu polis terus bertindak pantas menjejaki dan menahan kesemua suspek pada 4 Disember 2020 di kawasan Kampung Sungai Kayu Ara, Damansara,” katanya di sini.

Kesemua suspek yang disiasat mengaku merogol gadis berkenaan.

Daripada semua suspek itu, empat orang  berusia antara 20 hingga 22 tahun.

Manakala dua lagi suspek adalah kategori kanak-kanak berusia 16 dan 17 tahun dan tidak bersekolah.

“Hasil semakan rekod lampau mendapati dua daripada suspek itu mempunyai rekod kes jenayah dan dadah,” tambah Nik Ezanee.

Mangsa yang sedang mengalami tekanan emosi, sedang menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari dan disiasat di bawah Seksyen 375(B) Kanun Keseksaan kerana merogol yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun jika disabitkan bersalah.