Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Gara-gara memakir kereta hingga menyebabkan sebuah kereta BMW tidak dapat keluar, enam lelaki warga tempatan bertindak memukul dan mencekik mangsa yang sedang makan bersama isterinya di sebuah restoran di Kepong.

Kejadian dilaporkan berlaku di sebuah restoran Sweet Cafe Kepong, Jalan Metro Perdana Taman Usahawan, Kepong malam tadi.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, mangsa tiba-tiba didekati tiga lelaki dalam keadaan mabuk sebelum bertindak memukulnya.

Mereka tidak puas hati kerana kereta mangsa double parking  di sebelah sebuah kereta jenis BMW yang dinaiki tiga suspek itu.

“Pengadu (mangsa) dicekik oleh salah seorang dari tiga suspek itu sebelum salah seorang dari tiga suspek memanggil tiga lagi lelaki lain disyaki rakan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Malah, semasa mangsa dan isterinya sudah berada di dalam keretanya untuk bergerak, salah seorang daripada tiga suspek yang memegang alat pengunci steering mahu bertindak memukul mangsa.

Akibat terkejut dan cemas dengan tindakan suspek, mangsa telah melanggar sebuah kereta lain.

“Rentetan aduan mangsa mengenai insiden itu, kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 427, 324 dan 506 Kanun Keseksaan.

“Kesemua suspek itu sudah dikenalpasti polis dan polis mempergiatkan usaha menjejaki keenam-enam suspek tersebut,” katanya.-MalaysiaGazette