Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Seramai 518 individu ditahan polis semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah seramai 517 dikompaun manakala seorang individu direman.

“Kesalahan merangkumi gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (193), aktiviti pusat hiburan (119), tidak memakai pelitup muka (71), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (58), dan lain-lain (77),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ismail Sabri, seramai 47 pendatang tanpa izin (PATI) ditahan dalam Operasi Benteng semalam.

Sementara itu, beliau berkata, sejak 24 Julai lalu sehingga semalam seramai 81,896 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan ditempatkan di 79 hotel serta 18 Institut Latihan Awam (ILA) dan institut pengajian tinggi swasta di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, seramai 11,485 individu sedang menjalani proses Kuarantin Wajib manakala 509 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan. Seramai 69,902 individu telah dibenarkan pulang,” katanya lagi.

Mengenai Op Sanitasi Awam Covid-19 semalam, sebanyak 48 operasi sanitasi meliputi 12 Zon Merah, 4 Zon Jingga, 10 Zon Kuning dan 8 Zon Hijau yang melibatkan 11 buah negeri dan 3 Wilayah Persekutuan telah diselesaikan. – MalaysiaGazette