KUALA LUMPUR – Situasi politik yang panas di Perak nampaknya tidak mengheret ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini.
Ini apabila sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang berakhir hari ini meluluskan Belanjawan Johor 2021.
Belanjawan berjumlah RM1.857 bilion itu diluluskan sebulat suara untuk mendepani wabak Covid-19.
Dengan kelulusan itu, ia sekaligus menepis dakwaan bahawa kedudukan Menteri Besarnya, Datuk Hasni Mohammad goyah.
Bertemakan ‘Berdaya Tahan Demi Kemakmuran’, ia dibentangkan Hasni pada 26 November lalu.
“Ya, belanjawan ini adalah belanjawan defisit. Dalam situasi ekonomi seperti sekarang, kita harus berbelanja lebih daripada biasa, mengikut sumber yang sedia ada dan bersasar.
“Walaupun ekonomi Johor akan mengalami keluk pemulihan berbentuk K, iaitu merujuk sesetengah industri pulih, manakala industri lain terus merudum, kerajaan Johor tetap akan membela golongan terjejas terutama B40 yang terhimpit dengan bantuan bersasar dengan tiada golongan yang akan tertinggal, ” kata Hasni.
Dalam pada itu, Hasni berkata belanjawan kali ini mengalami defisit sebanyak RM248.14 juta, selepas ia merekodkan belanjawan lebihan 10 tahun berturut-turut, sebelum ini.
Beliau berkata ia berikutan unjuran hasil negeri adalah sebanyak RM1.609 bilion manakala unjuran perbelanjaan pula berjumlah RM1.857 bilion.
Turut hadir dalam sidang DUN hari ini adalah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Gambir.
Sebelum itu, ada cadangan daripada beberapa pimpinan Bersatu dan pembangkang supaya DUN Johor melakukan perkara yang sama bagi mempertikaikan keabsahan MB Johor seperti dilakukan kepada MB Perak, Datuk Seri Ahmad Faisal Azumu. – MalaysiaGazette