Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed bercakap pada sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 21 OKTOBER 2020.

KUALA LUMPUR – Polis menahan sekumpulan enam lelaki disyaki terlibat dalam kes penculikan seorang ahli perniagaan dan isterinya di Jitra, Kedah pada 30 November lalu.

Turut dirampas wang tebusan RM250,000 dan barang kemas yang dibayar ahli keluarga mangsa kepada mereka yang disyaki penculik.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Komisioner Datuk Huzir Mohamed berkata, kesemua suspek kini direman sehingga Khamis ini untuk membantu siasatan lanjut kes.

“Pada 30 November lalu, ahli perniagaan itu dan isterinya telah diculik oleh empat suspek bertopeng dari rumah mereka di Jitra, Kedah.

“Kedua-dua mangsa telah ditahan oleh suspek di satu lokasi di Kedah sebelum penculik telah meminta wang tebusan sebanyak RM2 juta daripada keluarga mangsa,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Tambah Huzir, keluarga mangsa  telah membayar RM250,000 kepada penculik pada 1 Disember lalu.

Menurut beliau, mangsa dan isterinya bagaimanapun telah dilepaskan oleh penculik setelah gagal mendapatkan baki wang tebusan dari keluarga pasangan itu.

“Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman telah dimaklumkan tentang kes penculikan ini dan dengan segera memulakan operasi untuk menangkap kesemua suspek mulai 1 Disember hingga 4 Disember lalu.

“Hasilnya seramai enam suspek telah berjaya ditangkap oleh pasukan JSJ Bukit Aman bersangkut kes penculikan tersebut.

“Kesemua suspek berumur antara 24 hingga 58 tahun.

“Kita juga berjaya merampas sejumlah wang tebusan dan barang kemas yang dibayar oleh keluarga mangsa kepada penculik.

“Kesemua suspek kini direman sehingga 10 Disember ini untuk siasatan lanjut,” tegasnya.

Difahamkan kertas siasatan dibuka dan kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Culik 1961.-MalaysiaGazette