KUALA LUMPUR – Video lakonan bekas pemain pertahanan Kedah, Azmeer Yusof muncul juara pertandingan Video Kreatif Sempena Maulidur Rasul SAW 1442H/2020M kategori pilihan juri.
Video bertajuk Hijrah arahan Youtuber, Firdaus Zullkhairi itu mengisahkan perjalanan hijrah Azmeer dalam kehidupannya hingga dia sanggup mengundurkan diri daripada pasukan Kedah.
Kemenangan itu membolehkan Azmeer dan Firdaus membawa pulang hadiah wang tunai RM4,000.
Firdaus yang juga bekas pemain bola sepak Piala Presiden sebelum bersara kerana kecederaan turut memenangi hadiah tempat ketiga kategori pilihan netizen yang membawa pulang hadiah RM400.
Jun lalu, Azmeer mengumumkan dia meninggalkan pasukan Kedah kerana ingin menumpukan sepenuh perhatian dengan perniagaan.
Dia kini menubuhkan sebuah pusat pengajian Islam yang diberi nama Pusat Pengajian Islam Azmeer Yusof di negeri itu.
Pemain berusia 30 tahun itu turut aktif menjalankan beberapa perniagaan termasuk memiliki syarikat lori sampah AZYU Global Enterprise dan menawarkan perkhidmatan gunting rambut percuma kepada golongan warga emas dan orang kurang upaya (OKU) di kedai miliknya di Alor Setar, AY Barber Shop.
Sementara itu, hadiah-hadiah Pertandingan Video Kreatif Maulidur Rasul SAW 1442H/2020M disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr.Zulkifli kelmarin.
Seramai 20 orang pemenang telah terpilih bagi dua kategori yang dipertandingkan iaitu masing-masing 10 pemenang bagi Kategori Pilihan Juri dan 10 pemenang bagi Kategori Pilihan Netizen.
Semua pemenang menerima wang tunai keseluruhan berjumlah RM13,500 sumbangan Yayasan Taqwa MAIWP dan sijil penyertaan dari kerajaan.
Pertandingan Video Kreatif Maulidur Rasul SAW 1442H/2020M ini telah diadakan bermula 7 Oktober 2020 sehingga 31 Oktober 2020.
Sebanyak 207 penyertaan telah diterima dari pelbagai lapisan masyarakat muslim dan bukan muslim termasuk penyertaan dari kalangan Orang Kurang Upaya (OKU).
Video yang dihasilkan adalah bertemakan nilai-nilai mulia yang disarankan oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Pertandingan anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia bertujuan untuk memupuk minat dan kreativiti masyarakat dalam mempromosi semangat kecintaan terhadap Rasulullah SAW di samping mencungkil idea seterusnya mengetengahkan bakat dalam menghasilkan produk multimedia bergenre Islamik. – MalaysiaGazette
















