Suspek tempatan berusia 22 tahun yang mengacukan pistol tiruan terhadap pelayan restoran di sebuah hotel untuk mendapatkan butiran pelanggan tetap restoran bergelar Datuk Seri ditahan polis semalam.

PETALING JAYA – Tindakan seorang lelaki menyamar polis dan menggunakan pistol tiruan mengugut pelayan hotel berjaya ditahan bersama dua lagi rakannya yang bersubahat.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, polis menerima laporan pada Jumaat sekitar jam 11 pagi berkenaan kejadian itu.

“Suspek merupakan seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun dan kejadian pada 1 Disember lalu sekitar jam lebih kurang 9.18 malam di dalam sebuah restoran di hotel tersebut.

“Kejadian berpunca apabila mangsa seorang pelayan restoran di hotel berkenaan tidak mengetahui butiran pelanggan tetap di restoran itu berpangkat ‘Datuk Seri’ apabila diminta oleh suspek.

“Suspek bertindak agresif mengacukan objek menyerupai pistol (pistol tiruan) ke arah mangsa dan mendakwa dirinya seorang anggota polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bertindak atas maklumat laporan polis itu, katanya pasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya berjaya menahan tiga suspek sekitar 2.30 petang semalam.

Tambah Nik Ezanee, kesemua suspek berusia lingkungan 19 hingga 51 tahun ditahan kawasan daerah tersebut yang dipercayai terlibat dengan kes yang sedang disiasat.

“Semakan rekod lampau mendapati kesemua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau. Polis turut merampas pelbagai barangan yang disyaki digunakan suspek dalam kejadian tersebut,” ujar beliau.

Menurut beliau siasatan awal polis mendapati suspek utama dalam kes berkenaan (mengacukan pistol) adalah berusia 22 tahun.

Katanya, suspek mengaku kepada polis terlibat dalam kes yang disiasat dan membeli senjata api (disyaki tiruan) itu melalui media sosial dengan harga RM1,030.

Suspek acu pistol ugut pelayan hotel ditangkap manakala dua rakannya dibebaskan dengan jaminan polis setelah ditangkap semalam.Foto IPD PJ

“Manakala dua lagi suspek tidak mengaku mereka terlibat dalam kes jenayah tersebut. Suspek utama itu direman selama empat hari manakala dua lagi suspek dipercayai rakannya diberi jaminan polis dan kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan serta Seksyen 36 Akta Senjata 1960.

“Polis turut merampas satu kelopak kosong pistol, sebuah kereta Toyota Vios, sebuah kereta Toyota Vellfire dan dua telefon bimbit untuk membantu siasatan lanjut dalam kes ini,” tegas beliau.-MalaysiaGazette