Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.

KUALA LUMPUR – Media hari ini difahamkan tiada mana-mana calon Menteri Besar Perak yang baharu memiliki majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

Perkara itu diberitahu Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini selepas pertemuan antara Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berakhir pagi tadi.

“Duli Yang Maha Mulia (DYMM) ambil maklum seperti di hari-hari sebelum, peranan DYMM hanyalah setelah diyakinkan bahawa calon yang akan dipersembahkan itu telah mendapat sokongan majoriti mudah.

“Dan pihak istana bersedia apabila diyakinkan sudah ada calon yang sudah dapat majoriti mudah untuk angkat sumpah jawatan menteri besar yang baharu.

“Tak ada lagi yang mengadap (no one visiting), balik berehat. Setakat ini masih belum ada,” katanya memetik laporan Malaysiakini.

Menurut beliau, Sultan Perak hanya akan memainkan peranan bagi memilih seorang Menteri Besar hanya setelah baginda yakin calon yang dipersembahkan mendapat sokongan majoriti mudah.

Semua ini bermula apabila Menteri Besarnya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu hilang sokongan majoriti dalam usul undi percaya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Disember lalu.

Ahmad Faizal hanya memperoleh 10 undi sementara 48 lagi undi menolak usul percaya itu, manakala satu undi rosak dan satu undi berkecuali.

Susulan itu, Ahmad Faizal mengumumkan peletakan jawatan beliau sebagai Menteri Besar berkuatkuasa semalam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast