Pendakwah selebriti diiringi pegawai polis selepas keluar dari mahkamah setelah mendapat perintah reman selama lima hari bermula hari esok bagi membantu siasatan kes merogol seorang wanita ketika di Mahkamah Shah Alam, Selangor. foto MOHD ADZLAN, 01 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Syed Amirul yang tamat tempoh remannya hari ini ditahan semula dan akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk siasatan lanjut.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten komisioner Nik Ezanee Mohd Faizal yang memberitahu, suspek mempunyai dua kes yang dilakukan di daerah Petaling Jaya selepas pihaknya menerima dua laporan berkaitan rogol.

“Esok suspek akan dibawa ke Mahkamah Petaling Jaya bagi mendapat perintah reman,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Minggu lalu, pendakwah selebriti terbabit disambung reman lima hari hingga hari ini bagi membantu siasatan dakwaan kes merogol seorang gadis di Seksyen 7, pada September tahun lalu.

Perintah reman terhadap suspek yang juga bekas peserta rancangan realiti televisyen keagamaan itu dikeluarkan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Shah Alam, Ahmad Feisal Mohd Azmi. – MalaysiaGazette