Foto hiasan

Saudara Pengarang,

Baru-baru ini, negara dikejutkan oleh kemelut politik di Perak, di mana Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu terpaksa meletak jawatan Menteri Besar susulan kegagalan beliau meraih sokongan majoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut.

Ekoran daripada itu, terdapat ura-ura menubuhkan kerajaan campuran melibatkan kerjasama antara Umno dan DAP. Umno hanya mempunyai 25 buah kerusi di DUN yang mempunyai jumlah ahli seramai 59 orang. Manakala DAP mempunyai 24 buah kerusi.

Pihak Pas, dengan tiga buah kerusi, telah menyatakan keengganan untuk terlibat dalam penubuhan kerajaan bersama UMNO, rakan kongsi dalam Muafakat Nasional.

Dengan kata lain, tanpa penglibatan Pakatan Harapan, khasnya DAP, tidak mungkin UMNO dapat menubuhkan kerajaan baharu di Perak. Pengerusi DAP negeri Nga Kor Meng telah menyatakan kesediaan menyertai kerajaan campuran bersama Umno.

Bagi saya, ia pasti satu tragedi andai UMNO mengorbankan dasar perjuangan ABATA (Agama, Bangsa, Tanah Air) untuk menjalin kerjasama politik dengan DAP, musuh paling utama parti saya sejak sekian lama.

Secara peribadi, saya berpegang bahawa dalam apa keadaan sekali pun, biarlah hilang kuasa atau tidak lagi bersama mentadbir Malayisa dari Putrajaya, orang Melayu sama sekali tidak boleh menerima DAP.

Andai itu terjadi, maka akan tersuratlah ia sebagai pengkhianatan terbesar kepada bangsa sendiri. Pasti robek jiwa dan hati pendokong-pendokong Umno jika parti mereka dianggap tiada maruah kerana sanggup menyembah DAP, sanggup membiarkan kampung tergadai, asalkan sorak dimenangi.

Adakah begitu mudah untuk ahli Umno dan orang Melayu melupakan ‘rukun’ dalam parti bahawa DAP itu adalah parti rasis dan cauvinis sejak zaman berzaman, bahawa Lim Kit Siang dan anaknya, Guan Eng juga rasis. Apabila mereka ada kuasa di Putrajaya, hak dan kepentingan Melayu didakwa diketepikan.

Andai UMNO bekerjasama dengan DAP, maka tiadalah bezanya Umno dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, Anwar dan Mohamad Sabu yang sanggup bekerjasama dengan DAP demi kuasa. Tiada guna keringat dan usaha dikerah selama ini menentang habis-habisan parti dianggap anti-Melayu, anti-Islam dan anti-Raja Melayu itu.

Andai itu terjadi, segala perit jerih digerakkan Umno selama 64 tahun penubuhannya, akan mengalir ke dalam longkang begitu sahaja. Segala usaha dan tenaga dicurahkan selama 22 bulan bagi menyingkirkan kerajaan PH yang terasnya adalah DAP menjadi sia-sia.

Ke mana mahu pemimpin-pemimpin kita menyorok, mengelak ludah kembali ke muka sedangkan semua tahu dan menyaksikan sendiri apa yang DAP lakukan kepada orang Melayu dan institusi bangsa kita selama 22 bulan kerajaan PH memegang tampuk kuasa.

Andai itu terjadi, UMNO pasti akan ditolak secara total oleh orang Melayu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti kerana parti yang dasar perjuangannya menjaga kepentingan bangsa dan agama sudah menjalin kerjasama dengan musuh utama. Hilang UMNO, Melayu masih boleh berharap kepada Pas atau Bersatu.

Saya yakin dan pasti, andai kerjasama demikian terjadi, ahli-ahli UMNO yang sekitar tiga juta itu dan rata-rata orang Melayu sama sekali tidak akan menerima gandingan pelik berkenaan, semata-mata kerana agenda peribadi segelintir pemimpin parti yang ‘gila kuasa’.

Jika pemimpin UMNO terus berdegil, percayalah rakyat akan tahu membuat penilaian dan memberi pengajaran yang setimpalnya semasa pilihanraya umum akan datang.

Fakhrul Radzi Suleiman
Rawang, Selangor

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Apa nak berhela2 ayat , mudahnya mcm pergi kenduri tapi makan sate vavi… kalau wak tu nak makan, kau makan sorang lah… tapi jgn lupa baca bismillah.

Comments are closed.