Saarani Mohamad

KUALA LUMPUR – Calon yang disebut-sebut bakal dilantik Menteri Besar Perak,Datuk Saarani Mohamad hari ini berkata, hanya pejabat UMNO negeri itu yang boleh mengeluarkan sebarang kenyataan.

Pengerusi UMNO negeri itu justeru meminta semua pihak lain supaya tidak membuat sebarang andaian berhubung situasi semasa di negeri tersebut.

“Badan perhubungan Umno Perak memandang serius pelbagai spekulasi dan khabar angin berikutan beberapa kenyataan dikeluarkan di luar saluran parti berhubung senario politik Perak.

“Justeru, semua pihak diminta supaya bertenang dan tidak membuat andaian berikutan kenyataan-kenyataan yang dibuat tanpa bersandarkan keputusan rasmi parti.

“Sehubungan itu, sebarang kenyataan rasmi parti berhubung perkembangan proses pembentukan kerajaan negeri hanya akan dikeluarkan melalui pejabat pengerusi badan perhubungan Umno negeri Perak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Saarani sudah dapat sokongan 30 ADUN jadi MB Perak

ADUN UMNO Perak berpakat calonkan Saarani sebagai MB

Nama Saarani semakin hangat diperkatakan untuk menggantikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup Datuk Shahrul Zaman Yahya mengesahkan kesemua 25 ADUN UMNO Perak secara konsensus mencalonkan Saarani sebagai Menteri Besar yang baharu.

Ia selepas MalaysiaGazette melaporkan bilangan ADUN negeri itu yang menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Saarani sebagai calon Menteri Besar Perak yang baharu sudah mencecah 30 orang.

Daripada jumlah itu, kesemua 25 ADUN mewakili UMNO dikatakan sudah menandatangani SD.

Krisis politik di Perak tercetus apabila usul percaya terhadap Ahmad Faizal gagal mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam usul undi percaya terhadapnya yang dikemukakan seorang ADUN dari Barisan Nasional (BN).

Dalam undian belah bahagi ketika permulaan sesi persidangan DUN itu minggu lalu, daripada 59 ADUN yang mengundi hanya 10 bersetuju manakala 48 tidak bersetuju dan satu berkecuali.