IMBAS . Tengku Adnan naik turun mahkamah atas dakwaan menerima suapan RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membuka semula siasatan kes rasuah membabitkan Datuk Seri Tengku Adnan Mansor susulan keputusan Mahkamah Tinggi di sini melepas tanpa membebaskan Ahli Parlimen Putrajaya hari ini.

Dalam satu kenyataan, SPRM memaklumkan pihaknya akan mengemukakan semula kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara untuk pertimbangan setelah semuanya selesai.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini melepas tanpa membebaskan bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu atas pertuduhan menerima rasuah RM 1 juta daripada seorang ahli perniagaan pada 2013.

“Keputusan melepas tanpa membebaskan ini tidak bermaksud beliau dibebaskan sepenuhnya.

“Namun masih boleh dituduh pada bila-bila masa sekiranya diberi keizinan mendakwa daripada Jabatan Peguam Negara,” kata agensi anti-rasuah negara.

Ku Nan lepas tanpa bebas kes rasuah RM1juta

Merujuk kes sama, SPRM berkata pihaknya turut difahamkan bahawa terdapat perkembangan baharu yang telah dikemukakan oleh pihak tertuduh serta satu laporan dibuat terhadap seorang saksi kes ini yang memerlukan siasatan lanjut oleh SPRM.

“SPRM akan memulakan siasatan dengan perkembangan baharu tersebut dan mengemukakan semula kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara untuk pertimbangan setelah semuanya selesai.

“Namun begitu, terdapat satu lagi kes terhadap Datuk Seri Tengku Adnan yang masih menunggu keputusan dan tiada kena-mengena dengan keputusan mahkamah hari ini,” tegasnya.-MalaysiaGazette