Pendakwah selebriti dibawa keluar oleh anggota polis selepas mendapat perintah tahanan reman selama lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan dakwaan kes rogol di Mahkamah Majistret Petaling Jaya. Foto HAZROL ZAINAL, 07 DISEMBER 2020.

PETALING JAYA – Pendakwah selebriti kontroversi direman lima hari membantu siasatan bersabit satu laporan polis kes rogol melibatkan guru sekolah dalam kejadian pada 22 Oktober lalu.

Perintah reman dibenarkan ke atasnya yang berusia 25 tahun itu oleh Penolong Pendaftar Siti Mazrah Mohamad di Bilik Reman Mahkamah berkenaan pagi ini.

Terlebih dahulu suspek yang berbaju lokap warna ungu dan tangan bergari di hadapan dibawa menaiki kereta MPV polis tepat 10.30 pagi ini untuk proses yang sama.

Kemudian suspek dibawa keluar dari mahkamah sekitar 12.55 tengahari selepas selesai mendapatkan perintah reman.

Dia akan ditahan di IPD Petaling Jaya untuk membantu siasatan kes di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol mangsa berusia 22 tahun.

Laporan polis mangsa wanita tempatan diterima pada petang 30 November lalu mendakwa dia diajak makan bersama suspek dan meraikan ulang tahun kelahirannya di sebuah restoran di Shah Alam sebelum diajak ke rumahnya di Damansara Perdana dan dirogol.

Mangsa membuat aduan kepada polis di Balai Polis Damansara mengenai kejadian yang menimpa dirinya.

Mangsa yang merupakan kenalan suspek mengikuti Instagram pendakwah muda sebelum menerima mesej peribadi dan diajak makan bersama oleh suspek sebelum dibawa ke rumahnya di Damansara Perdana.

Semalam suspek ditangkap semula oleh pasukan polis Ibupejabat Polis Daerah (IPD) PJ di Shah Alam dibawa ke lokap untuk siasatan lanjut.

Beliau juga akan berdepan satu lagi reman bersabit dakwaan kes cabul dan seks luar tabii di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan 354 kanun yang sama.

Setakat ini lapan polis dibuat membabitkan lapan mangsa wanita iaitu enam laporan di IPD Shah Alam manakala dua laporan polis di IPD Petaling Jaya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Komisioner Datuk Huzir Mohamed dalam sidang media pada Selasa lalu berkata, polis telah menubuhkan pasukan khas mengendalikan kes kes membabitkan pendakwah selebriti yang sama.

Dua daripada lapan laporan polis yang dibuat di Shah Alam dan Subang Jaya ke atasnya dan diklasifikasikan sebagai NFA atau tiada tindakan lanjut berikutan tidak terdapat sebarang unsur seksual.

Beliau juga menegaskan lebih ramai lagi mangsa dijangka tampil membuat laporan polis dan menasihatkan mangsa terjejas berani tampil bagi membantu polis menyiasat setiap laporan.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

https://malaysiagazette.com/2020/12/07/pendakwah-selebriti-tenang-minta-doakan-dirinya/