SPB YDPA dan Raja Permaisuri Agong menzahirkan takziah kepada keluarga dua kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah yang maut dalam kemalangan jalan raya semalam menerusi kenyataan rasmi Istana Negara hari ini.

KUALA LUMPUR –  Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga dua kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Pekan yang maut dalam kemalangan jalan raya semalam.

Baginda berdua yang menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarhamah Julayha  Kudus dan Allahyarham Mohd Zuhairi Abdullahatkan.

Istana Negara dalam kenyataan berkata, baginda berdua berharap agar seluruh keluarga Allahyarham sabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana pilu ini.

“Baginda berdua amat menghargai khidmat bakti dan jasa Allahyarhamah Julayha dan Allahyarham Mohd Zuhairi, kepada masyarakat dan negara, selain turut menyifatkan pemergian mereka berdua sebagai kehilangan besar kepada Pejabat Kesihatan Daerah Pekan dan Kementerian Kesihatan,” kata kenyataan itu.

Kemalangan membabitkan tiga kenderaan itu kira-kira jam 10.30 pagi di Kilometer 32 Jalan Kuantan-Nenasi-Rompin.

Kedua-dua mangsa dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala lima mangsa lain selamat dan turut alami kecederaan.

Ketika kejadian, kedua-dua mangsa dalam perjalanan menghantar Pasukan Bergerak Orang Asli, PKD Pekan ke perkampungan orang asli untuk melakukan lawatan pemeriksaan kesihatan berkala.- MalaysiaGazette