KUALA LUMPUR – Kerajaan memutuskan untuk menarik balik keputusan menjual dua anak syarikat TH Plantations Bhd (THP) – Bumi Suria Ventures Sdn Bhd (BSV) dan Maju Warisanmas Sdn Bhd (MWM) kepada Tamaco Plantation Sdn Bhd (Tamaco).

Keputusan itu dibuat pada 4 Disember lalu selepas mengambilkira pelbagai faktor.

”Kami bertekad untuk terus memajukan THP dan Lembaga Tabung Haji dengan lebih berjaya dan gah di dalam negara serta di persada antarabangsa. Kami berdoa dan bermunajat kepada-Nya semoga Allah SWT memberkati usaha kami dalam
memartabatkan institusi TH,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri dalam kenyataan bersama.

Kenyataan itu memaklumkan permohonan perolehan hartanah secara tidak langsung oleh Tamaco melalui langganan 100 peratus saham dalam Bumi Suria Ventures dan Maju Warisanmas daripada THP adalah tertakluk kepada Garis Panduan Perolehan Hartanah yang telah berkuatkuasa sejak 1 Mac 2014.

Garis panduan itu telah menetapkan bahawa sebarang permohonan perolehan tanah secara langsung atau tidak langsung yang mengakibatkan pengurangan pemilikan hartanah kepentingan bumiputera oleh bukan bumiputera adalah tertakluk kepada pemilikan sekurang-kurangnya 30 peratus kepentingan bumiputera.

Berdasarkan ketetapan ini, surat kelulusan bertarikh 24 November 2020 telah dikeluarkan ke atas permohonan ini dengan syarat Tamaco hendaklah mewujudkan pemilikan ekuiti sekurang-kurangnya 30 peratus kepentingan bumiputera dalam tempoh satu tahun daripada tarikh surat kelulusan dikeluarkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Batalkan penjualan pukal aset ladang TH Plantation Berhad – Asyraf

Kelulusan secara bersyarat itu diberi atas justifikasi yang telah diberikan oleh pihak THP demi kelangsungan operasi dan kestabilan kewangan syarikat.

Keputusan terbaharu kerajaan ini selepas penjualan aset-aset milik Lembaga Tabung Haji mendapat tentangan hebat oleh pelbagai pihak.

Baru-baru ini, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menyerahkan memorandum bantahan bagi menghentikan penjualan aset-aset THP yang dibuat kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara itu bagi mendesak kerajaan supaya segera campur tangan menghentikan segala proses serta membatalkan keputusan pelupusan anak-anak syarikat THP.

Katanya, usaha itu bagi menjaga kepentingan lebih 9.4 juta pendeposit Tabung Haji dapat dibela dan dipertahankan.- MalaysiaGazette

2 Komen

Comments are closed.