Pengarah Standard Perburuhan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Mohd. Asri Abdul Wahab (kiri) bersama Pejabat Tenaga Kerja Bangi memeriksa tempat penginapan pekerja pada Operasi Khas Tapak Pembinaan di Semenyih, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 08 DISEMBER 2020.

BANGI – Kotor dan tidak teratur. Itu keadaan dua buah tempat penginapan pekerja asing di sebuah tapak pembinaan di di sini.

Kawasan yang dibina menggunakan kontena serta struktur kayu itu terbahagi kepada beberapa ruangan yang dijadikan tempat tidur dengan papan lapis digunakan sebagai lantai bagi menutup lopak air.

Situasi tersebut sekali gus mengundang bau kurang menyenangkan dan permukaan yang lembap akibat air bertakung di sepanjang laluan masuk ke dalam kontena.

Keadaan kawasan tempat penginapan pekerja di Semenyih yang Selangor yang kotor dan sempit. foto HAZROL ZAINAL, 08 DISEMBER 2020.

Barangan serta peralatan peribadi milik pekerja turut dilihat berselerakan dan ruangan mandi yang tidak mempunyai penghadang mahu pun pintu.

Menerusi Operasi Khas Tapak Pembinaan yang dijalankan oleh Pejabat Tenaga Kerja Bangi bermula pukul 10.30 pagi, pelbagai aspek diperiksa bagi memastikan tempat penginapan tersebut mengikut spesifikasi yang ditetapkan dalam Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 atau Akta 446.

Menurut Pengarah Standard Perburuhan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Mohd. Asri Abdul Wahab, tempat penginapan berkonsepkan kontena dibenarkan namun ia perlu mengikut kapasiti pekerja selain menitik beratkan tahap kebersihan dan keselamatan.

“Jika kita tengok di tingkat dua tempat penginapan ada lantai yang berlubang dan bila jenguk ke dalam kontena tiada katil disediakan hanya terdapat beberapa tilam sahaja.

“Apa yang merisaukan adalah ruang tempat tidur yang bercampur dengan barangan lain seperti dapur memasak dan tong gas,” katanya ketika ditemui pemberita di tapak pembinaan.

Mohd. Asri Abdul Wahab

Mengulas lanjut, Mohd. Asri berkata, tempat penginapan pekerja berkonsepkan kontena perlu mempunyai ruang guna sama iaitu tempat berehat, ruang makan, riadah serta bilik air yang sempurna.

Jelasnya, di pintu utama tempat penginapan perlu ditempatkan seorang pegawai keselamatan untuk memeriksa suhu badan pekerja, memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi dan mengenal pasti pekerja yang tidak sihat.

“Saya juga ingin menyeru semua majikan sama ada dari sektor perkilangan, perkhidmatan atau pembinaan supaya menjaga kebajikan pekerja mereka dan melihat tempat penginapan supaya mematuhi Akta 446.

“Jika sesebuah tempat penginapan itu sempit dan sesak maka penularan wabak Covid-19 ini lebih cepat berjangkit dalam kalangan pekerja di situ,” ujarnya.

Pemandangan kawasan penempatan pekerja di Semenyih, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 08 DISEMBER 2020.

Tambah Mohd. Asri, kertas siasatan akan dibuka terhadap penyedia penginapan tapak pembinaan tersebut dan tindakan susulan akan dibuat berdasarkan pemeriksaan yang dijalankan.

Pada 3 Disember lalu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, penginapan yang disediakan kepada 1.4 juta atau 91.1 peratus pekerja asing di negara ini didapati tidak mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 atau Akta 446.

Menurut beliau, statistik itu amat membimbangkan, lebih-lebih lagi ketika negara sedang berdepan ancaman pandemik Covid-19 dan setakat 31 Oktober lalu kerajaan menerima permohonan Perakuan Penginapan membabitkan hanya 143,587 atau 8.89 peratus daripada 1.6 juta pekerja asing di negara ini. – Malaysia Gazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast