Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan hadir pada Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Muafakat Nasional (MN) di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur. foto MOHD ADZLAN, 09 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Krisis politik Perikatan Nasional (PN) dan pentadbiran Kerajaan Negeri Perak memberi satu pengajaran kepada UMNO betapa pentingnya rundingan sebelum sesuatu tindakan diambil.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan melihat peristiwa di Perak banyak mendewasakan UMNO daripada segi kerjasama politik dengan parti politik selain Muafakat Nasional (MN).

“Pada saya pengajaran peristiwa Perak ini banyak mendewasakan hubungan politik antara UMNO, Bersatu dan Pas.

“Yang menariknya peristiwa ini ialah bagaimana rundingan boleh menyelesaikan masalah, ia cukup memberi pengajaran kepada saya secara peribadi.

“(Kalau) kita berunding, masalah selesai, kalau kita tidak berunding, masalah tidak selesai, apa-apa hal pun mesti berunding,” katanya ketika ditemui di lobi Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Terdahulu, Bersatu, Pas dan UMNO bersetuju mencadangkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad, sebagai Menteri Besar Perak yang baharu.

Persetujuan itu dicapai dalam pertemuan yang dihadiri Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Perdana Menteri; Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Presiden UMNO yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ketika pertemuan itu, Ahmad Zahid turut menyampaikan penyataan maaf bagi pihak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak daripada BN di atas kekhilafan yang berlaku pada Jumaat lalu, hingga menyebabkan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faisal Azumu, terpaksa meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Perak.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan, turut menyertai pertemuan itu.

Kenyataan yang dikeluarkan setiausaha agung ketiga-tiga parti itu selepas pertemuan terbabit, menyatakan pertemuan pucuk pimpinan itu diadakan bagi membincangkan pembentukan Kerajaan Negeri Perak.

Dalam pada itu, Ahmad Maslan juga menzahirkan kesyukuran di atas penyelesaian pembentukan kerajaan negeri dan pemilihan Menteri Besar Perak yang baharu, hari ini.

“Kita ucap tahniah kepada ADUN Kota Tampan, Datuk Saarani Mohamad yang telah diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak untuk dilantik menjadi Menteri Besar Perak dan upacara angkat sumpah pada esok jam 10 pagi,” katanya.

Ahmad Maslan turut mengakui beliau antara salah seorang yang terlibat dalam proses rundingan itu dan berharap Kerajaan PN dapat dikekalkan di Perak.

“Saya selaku yang terlibat dalam rundingan juga bersyukur dan ucap terima kasih kerana keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO mengharapkan agar Pas dan Bersatu bersama dalam Kerajaan Negeri Perak yang baharu.

“Itu satu kesyukuran Alhamdulillah, hal-hal lain itu kami kami bincang kemudian,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

4 Komen

  1. tolong kekalkan pendirian UMNO bahawa kerjasama dengan ber1 hanya sehingga pru15 SAHAJA,tolong jangan bekerjasama dengan PENGKHIANAT jika mahu UMNO terus mendapat sokongan daripada akar umbi,akar umbi menolak sekeras2nya hubungan dengan ber1 dipru15,tolong kekalkan dan kuatkan MN SAHAJA!

Comments are closed.