Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Seramai 67 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Op Benteng dalam usaha mengekang jenayah rentas sempadan selain menyekat penularan wabak Covid-19.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dua tekong turut ditahan selain merampas empat kenderaan darat serta lapan buah bot.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan mengenai perkembangan terkini pelasanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hari ini.

Dalam pada itu, sebanyak 13,872 jumlah pemeriksaan telah dilakukan oleh anggota penguatkuasa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia yang melibatkan 7,956 tapak binaan di seluruh negara sejak 20 April sehingga semalam.

Ujarnya, anggota penguatkuasa telah membuat pemeriksaan di 27 tapak binaan di seluruh negara dan kesemua 27 tapak binaan yang diperiksa mematuhi SOP yang ditetapkan. – MalaysiaGazette