Muhamad Arif Mohamed Anwar

KUALA TERENGGANU – Bekas pemain UiTM FC, Muhamad Arif Mohamed Anwar telah menjadi pilihan Terengganu FC (TFC) bagi memantapkan skuad Penyu dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan dan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2021.

TFC dalam kenyataan hari ini berkata sepakan akrobatik yang dilakukan pemain berusia 25 tahun itu sehingga berjaya membawa UiTM FC ke peringkat suku akhir Piala Malaysia buat pertama kali, telah memikat hati pihak pengurusan TFC untuk memilih beliau.

“Muhamad Arif dilihat lebih selesa dan menonjol di bahagian sayap serta kerap membarisi kesebelasan utama pasukan sebelumnya.

“Kehadiran beliau dijangka mampu memberikan lebih pilihan dan cabaran hebat kepada pemain sedia ada bagi mengisi kekosongan posisi itu yang sebelum ini diisi oleh Muhamad Faris Ramli dan D. Saarvindran,” menurut kenyataan itu sambil memaklumkan Muhamad Arif akan berkhidmat di bumi Terengganu selama dua tahun.

Muhamad Arif merupakan pemain baharu keempat diumumkan bakal bersama TFC, selepas bekas tonggak Pahang Mohd Faisal Abdul Halim dan Shahrul Nizam Ros serta Nik Akif Syahiran Nik Mat yang kedua-duanya sebelum ini beraksi bersama Kelantan.- BERNAMA