Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias.

KUALA LUMPUR – Penunggang basikal yang terlibat dalam aktiviti berbasikal di atas jalan raya atau lebuh raya dinasihati supaya mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya.

Kerisauan itu timbul selepas polis mengesan sejak kebelakangan ini aktiviti berbasikal di atas jalan raya menjadi trend baharu rakyat sehingga menimbulkan pelbagai reaksi dan mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain.

Mana-mana penunggang basikal yang melanggar peraturan di atas jalan raya boleh dikenakan tindakan denda minimum RM1,000 dan maksimum RM5,000 dan juga penjara maksimum setahun kerana menunggang secara melulu dan merbahaya di bawah Seksyen 54(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Deputi Komisioner Datuk Azisman Alias berkata, statistik kemalangan jalan raya melibatkan penunggang basikal di negara ini menunjukkan pada tahun 2019 sebanyak 201 kes kemalangan direkodkan.

“Manakala daripada jumlah itu 107 kematian, 35 cedera parah dan 59 cedera ringan manakala dari Januari hingga Oktober tahun ini pula 137 kes kemalangan penunggang basikal dilaporkan dan 56 mati, 18 kes cedera parah dan 63 orang cedera ringan.

“Walaupun tiada larangan aktiviti berbasikal di atas jalan raya JSPT menasihatkan penunggang basikal agar sentiasa patuh peraturan dan undang-undang jalan raya yang ditetapkan demi menjamin keselamatan diri dan pengguna lain atas jalan raya,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut Azisman, aktiviti berbasikal atas jalan raya boleh mengganggu kelancaran perjalanan kerana kenderaan lain turut menggunakan laluan sama setiap masa yang boleh mengundang risiko kemalangan.

Tambahnya pemandu kenderaan seperti lori, bas, kereta, motosikal dan seumpamanya turut diingatkan supaya bertimbang rasa dan lebih berhati-hati ke atas penunggang basikal kerana mereka amat terdedah kepada bahaya semasa berada di atas jalan raya.

Azisman juga menasihatkan mereka yang mahu menjalankan aktiviti berbasikal supaya memilih lokasi dan masa yang sesuai seperti di kawasan yang kurang kenderaan dan bukan pada waktu puncak ketika rakyat pergi dan balik kerja.

Selain itu, beliau juga memaklumkan pemilik perlu memastikan peralatan dan basikal yang akan digunakan hendaklah mempunyai ciri-ciri keselamatan termasuk menggunakan roof rack carrier sahaja pada kenderaan untuk mengangkut basikal.

“Mana-mana penunggang basikal yang melanggar peraturan di atas jalan raya boleh dikenakan tindakan denda minimum RM1,000 dan maksimum RM5,000 dan juga penjara maksimum setahun kerana menunggang secara melulu dan merbahaya di bawah Seksyen 54(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Manakala di bawah Seksyen 79(2) akta yang sama, mana-mana orang yang gagal mematuhi papan tanda lalu lintas yang melarang berbasikal di lebuh raya boleh didenda minimum RM300 dan maksimum RM2,000 dan di bawah Seksyen 112(3) mana-mana basikal boleh ditahan jika melakukan kesalahan berkenaan dengannya,” ujar beliau.

Azisman juga berkata, kaedah 35 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 memperuntukkan mana-mana basikal yang didapati tidak memasang lampu depan dan belakang boleh didenda maksimum RM2,000 dan atau dipenjara maksimum enam bulan.

“Justeru Kaedah 42 pula mensyaratkan setiap basikal hendaklah mempunyai ciri-ciri keselamatan seperti brek dan loceng dan penunggang hendaklah mengayuh dalam satu deretan.

“Mana-mana orang yang melakukan kesalahan seperti di atas boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau penjara maksimum enam bulan,” tegasnya.- MalaysiaGazette