Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Seramai 86,398 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dari 24 Julai hingga 11 Disember 2020.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kesemua telah ditempatkan di 78 hotel dan 19 Institut Latihan Awam (ILA) serta Institut Pengajian Swasta di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah, Labuan dan Melaka.

“Daripada jumlah itu, seramai 12,827 individu sedang menjalani proses Kuarantin Wajib manakala 543 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan sementara seramai 73,028 individu telah dibenarkan pulang,” katanya dalam kenyataan perkembangan harian PKP hari ini.

Tambah Ismail Sabri, mereka telah pulang dari 36 negara, iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Laos, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, UAE, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, UK, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia, New Zealand, Amerika Syarikat, Ethiopia, Maldives dan Oman.

Dalam pada itu, menyentuh pemeriksaan di tapak binaan, ISmail Sabri berkata, sejak 20 April lalu sehingga semalam, sebanyak 13,901 jumlah pemeriksaan telah dilakukan oleh anggota penguatkuasa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) yang melibatkan 7,965 tapak binaan di seluruh negara.

“Semalam, anggota penguatkuasa telah membuat pemeriksaan di 11 tapak binaan di seluruh Malaysia dan kesemua tapak binaan yang diperiksa mematuhi SOP yang telah ditetapkan,” ujar beliau.

Selain itu, kerajaan menerusi Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah membuat pemantauan harian pada hari Jumaat ke atas 11 jenis bekalan barangan di 689 premis perniagaan.

Menurutnya mereka termasuklah 518 peruncit, 143 pemborong dan 28 pengilang yang terlibat.

“Secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperoleh.

“Pegawai penguat kuasa KPDNHEP juga telah melakukan 525 pemeriksaan khas Pematuhan SOP PKPP dan kesemua premis yang diperiksa mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

“Dalam tempoh PKPP ini, kerajaan ingin menggesa pengusaha dan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan kawalan kendiri termasuk penjarakan sosial dan kebersihan diri terutamanya dalam aktiviti jual beli barangan keperluan harian,” tegasnya.- MalaysiaGazette