Datuk Seri Mohd Shafie Apdal

KUALA LUMPUR – Parti Warisan Sabah (Warisan) akan mengembangkan layarnya ke Semenanjung.

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, langkah itu perlu kerana sudah tiba masanya pemimpin dari Sabah bukan hanya mengikut telunjuk Persekutuan sebaliknya menjadi kata pemutus dalam soal menunaikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Hala tuju baharu parti ini juga adalah bagi menunaikan permintaan kira-kira 300,000 rakyat Sabah yang bekerja di Semenanjung.

“Saya berada di Kuala Lumpur minggu lalu berjumpa dengan orang Sabah di sana, mereka cakap bela kami Datuk, ramai orang Sabah bekerja di Semenanjung termasuk Johor.

“Sudah tiba masanya kita kembangkan sayap ke Semenanjung. Sebagai parti yang berbilang agama dan bangsa serta memperjuangkan konsep Unity atau Perpaduan, Warisan sememangnya layak untuk mewakili setiap rakyat Malaysia bukan sahaja di Sabah tetapi juga Semenanjung,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya hari ini.

Menurutnya, dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, konsep Unity yang diperjuangkan turut mendapat sokongan rakyat dan pemimpin dari Semenanjung membolehkan Warisan menjadi parti tunggal terbesar di Sabah.

“Sebelum ini, dua parti tempatan Sabah iaitu PBS dan UPKO juga pernah bertanding di Semenanjung. Sudah hampir 60 tahun Sabah dan rakan Borneo (Sarawak) menjadi penentu kepada sumber asas ekonomi negara, justeru, tiba masanya untuk Sabah bukan sahaja terlibat dalam rundingan, tetapi pemimpin dari Sabah juga perlu menjadi kata pemutus,” katanya.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Warisan kembangkan sayap ke Semenanjung?