Ismail Sabri Yaakob.

KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Numbak dan Penempatan Telipok, Kota Kinabalu di Sabah yang bermula 16 November lalu yang kemudiannya dilanjutkan telah berakhir hari ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga 10 Disember lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan 6,776 ujian saringan di kedua-dua lokaliti itu.

Jelas beliau, sebanyak 175 kes kumulatif Covid-19 telah direkodkan di Kampung Numbak dan 224 kes di Penempatan Telipok.

“Sehingga kini KKM mengesahkan jumlah kes aktif di kedua-dua lokaliti itu menunjukkan trend penurunan dan terkawal.

“Atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di Kg. Numbak dan
Penempatan Telipok, Kota Kinabalu, Sabah pada hari ini, 13 Disember 2020 seperti mana
dijadualkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ismail menambah, penamatan PKPD Di Zon A Taman Klebang Jaya, Taman Pinji Mewah dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) Daerah Kinta tamat esok.

Kata beliau, kerajaan sebelum ini telah melaksanakan PKPD di Zon A, Taman Klebang Jaya dan Taman Pinji Mewah selama 14 hari bermula 1 lalu.

Menurutnya, bagi Zon A Taman Klebang Jaya, KKM telah melaksanakan 2,679 ujian saringan dan telah merekodkan sebanyak 37 kes kumulatif positif Covid-19.

“Selain itu, KKM turut mengesahkan masih terdapat kes aktif positif COVID-19 yang
melibatkan pekerja warganegara asing tertumpu di Asrama Pekerja Kilang Yamaha.

“Bagi Taman Pinji Mewah, KKM mengesahkan kesemua penduduk telah disaring sepenuhnya dan sebanyak lapan kes positif Covud-19 telah direkodkan di lokaliti ini.

“Atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di Zon A, Taman Klebang Jaya dan Taman Pinji Mewah esok seperti yang dijadualkan kecuali bagi Asrama Pekerja Kilang Yamaha yang akan diteruskan dengan pelaksanaan PKPD selama tujuh hari lagi bermula 15 sehingga 21 Disember ini.

“Selain itu, pelaksanaan PKPB di seluruh Daerah Kinta turut ditamatkan esok kecuali di Kawasan Ipoh dan Chemor di Mukim Hulu Kinta yang akan diteruskan pelaksanaan PKPB sehingga 20 Disember lalu,” katanya. – MalaysiaGazette