Datuk Dr Rohaizat Yon. foto MALAYSIA GAZETTE, 10 JUN 2020

KUALA LUMPUR – Bayi berusia 18 bulan yang parah ditikam bapanya semalam, kini berada dalam keadaan stabil.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr. Rohaizat Yon berkata, bayi perempuan tersebut telah selamat menjalani pembedahan di Hospital Tunku Azizah (Wanita dan Kanak-Kanak).

“Pesakit berada di dalam keadaan yang stabil.

“Pihak Kementerian Kesihatan akan terus membuat pemantauan rapi dan memberikan rawatan yang diperlukan.

“Sama samalah kita mendoakan agar pesakit segera sembuh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam satu kejadian di Puchong Permai petang semalam, seorang bayi telah cedera parah kerana ditikam oleh bapanya di rumah.

Suspek berusia 27 tahun dikatakan telah mengamuk secara tiba-tiba dan bertindak menikam perut bayi berkenaan.

Menurut Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman, polis telah menahan suspek dan merampas sebilah pisau pemotong roti disyaki untuk menikam mangsa. -MalaysiaGazette