Tan Sri Annuar Musa. foto MOHD ADZLAN, 09 DISEMBER 2020.

KOTA BHARU – Beberapa pemimpin UMNO yang nama mereka dikaitkan menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui Akuan Bersumpah (SD) dinasihatkan agar tampil membuat laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), jika ia merupakan satu fitnah.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata, jika benar sekalipun pemimpin berkenaan perlu berterus terang kepada rakyat kerana jika tidak ia boleh memberikan kesan buruk kepada parti.

“Nasihat saya buatlah laporan polis dan MCMC dan biarlah pihak berkuasa yang menyiasat jika ia adalah fitnah…juga berterus teranglah juga jika ia sesuatu yang benar kerana jika tidak ia banyak memberikan kesan buruk kepada parti,” katanya kepada pemberita selepas pertemuan dengan penulis blog di Kampung Tapang di sini, hari ini.

Annuar berkata, setahu beliau tindakan menyokong Ahli Parlimen Port Dickson itu bukan keputusan parti sama ada Majlis Tertinggi mahupun daripada Muafakat Nasional (MN) atau Perikatan Nasional (PN) dan tidak ada sebarang pun perbincangan untuk menandatangani SD berkenaan.

“Saya masih mengharapkan ia adalah tidak benar. Batang tubuh yang disebut itulah yang mengetahui apa yang berlaku dan patut berterus terang,” katanya.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata demikian sebagai mengulas dakwaan yang menyatakan terdapat individu dalam kalangan ahli parlimen UMNO memberi sokongan kepada Anwar untuk membentuk kerajaan baharu.

Beliau berkata, keputusan parti adalah jelas sehingga saat ini yang tetap tidak berganjak dengan keputusan “No Anwar, No DAP”.

Sehubungan itu beliau menasihatkan ahli parti agar mengikut keputusan parti dengan tidak mendahului keputusan peribadi.

“Sebagai ahli parti kita kena ikutlah dasar parti kerana ia adalah suara ramai,” katanya.

Sementara itu mengenai dakwaan terdapat konspirasi pihak tertentu mengubah pendirian parti mengenai dasar “No Anwar No DAP” itu, Annuar berkata, usaha seperti itu sentiasa ada memandangkan perbezaan kerusi pihak pembangkang dan kerajaan yang tipis.

Beliau menasihatkan ketika ini bukanlah masa yang sesuai untuk merebut pelbagai jawatan sewaktu rakyat sedang mengalami kesusahan ketika pandemik COVId-19 ini.

“Sepatutnya kita bersatu padu untuk menyelesaikan masalah rakyat,” katanya. – Bernama