Antara 100 penerima program subsidi lesen yang terdiri daripada penghantar makanan dan barang ketika hadir ke majlis Penyerahan Subsidi Bagi Program Inisiatif Roda Darul Ehsan (RIDE) di Bangunan SUK, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 14 DISEMBER 2020.

SHAH ALAM – Sebanyak 1,980 generasi muda menjadi penerima Inisiatif Roda Darul Ehsan (RIDE) Selangor berbentuk subsidi berjumlah RM570 untuk tahun ini.

Inisiatif yang julung kali diadakan oleh kerajaan Selangor tahun ini.

Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, ia merupakan usaha mengurangkan bebanan generasi muda khususnya yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Pada  tahun ini kita sudah ada formula bagaimana RIDE Selangor ini mungkin idea awalnya untuk bagi lesen sahaja tapi juga kita galakkan program-program e-hailing yang sangat berkesan selepas Covid-19.

“Untuk tahun depan ada lagi RM2 juta untuk dibelanjakan untuk generasi muda dan semoga kita dapat mampu mengurangkan bebanan mereka khususnya yang miskin bandar yang memerlukan kemahiran tertentu serta memerlukan dokumentasi tertentu seperti lesen untuk mengembangkan kerjaya mereka,” katanya selepas menyerahkan subsidi RIDE kepada 100 penerima hari ini di Dataran Perhimpunan SUK hari ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bergambar bersama 100 penerima program subsidi lesen yang terdiri daripada penghantar makanan dan barang ketika hadir ke majlis Penyerahan Subsidi Bagi Program Inisiatif Roda Darul Ehsan (RIDE) di Bangunan SUK, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 14 DISEMBER 2020.

Kata Amirudin, kerajaan negeri telah menerima sebanyak 22,321 permohonan sebelum ini.

Namun jelasnya kelayakan penerima berdasarkan syarat-syarat yang telah ditetapkan.

Menurut Amirudin, kerajaan negeri itu menyasarkan kira-kira 3,000 penerima  subsidi RIDE Selangor  pada setiap tahun agar kebanyakan anak muda akan  dapat memulakan kerjaya sebagai penghantar makanan selain mempunyai latihan kemahiran.

“Kerajaan negeri melihat ini serampang dua mata selain membantu anak muda ia juga membantu penunggang e-hailing yang mungkin terkesan dan tekanan akibat Covid-19,” tambahnya.

Terdahulu Amirudin memaklumkan RIDE adalah hasil kerjasama kerajaan negeri dengan enam syarikat e-hailing iaitu Rantaian e-Bekalan Digital Selangor (SELDEC), Warung Raider, BungkusIt, FoodPanda, Zepto Express dan Warong Rider.

Sebanyak RM570 diberikan adalah untuk Subsidi lesen (RM350), caruman Perkeso RM70 selebihnya  untuk kursus dan latihan e-hailing.-MalaysiaGazette