Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah Covid-19 cases
Dr Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA – Dua kluster baharu dikesan hari ini iaitu Kluster Solar Ria (dikesan di Sepang, Kuala Selangor, Gombak, Petaling dan Hulu Langat, Selangor) dan Kluster Senu Setia (Kepong, Kuala Lumpur).

Manakala Kluster Benteng (Lahad Datu, Sabah) dan Kluster Greenhill (Sarawak) ditamatkan berikutan tiada kes baharu dikesan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kini terdapat 418 kluster direkodkan termasuk dua kluster baharu itu jumlah kluster yang telah tamat adalah sebanyak 227 kluster.

“Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 191 kluster dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 46 kluster melaporkan pertambahan kes pada hari ini.

“Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Ceram (220 kes), Kluster Tapak Bina Muda (143 kes) dan Kluster Teratai (81 kes),” katanya pada sidang media di Kementerian Kesihatan hari ini.

Sementara itu, Dr. Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan mengguna pakai definisi kontak rapat yang disyorkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam mencegah penularan Covid-19.

Tambah beliau, definisi WHO merujuk kepada kontak secara langsung, secara fizikal atau bersemuka dengan kes yang sudah disahkan atau disyaki mempunyai jangkitan pada jarak satu meter untuk satu masa berterusan, tanpa memakai pakaian perlindungan peribadi (PPE).

Katanya, di negara ini definisi kontak rapat adalah pendedahan berkaitan kesihatan tanpa penggunaan PPE bersesuaian yang mana termasuk penjagaan pesakit dijangkiti Covid-19 secara langsung, bekerja dengan petugas kesihatan yang dijangkiti, melawat pesakit atau tinggal bersama-sama pesakit Covid-19.

“Mereka yang bekerja bersama-sama atau berada berhampiran dengan pesakit dalam bilik kelas yang sama dengan pesakit atau menaiki kenderaan bersama-sama dengan pesakit.

“Bagaimanapun, pihak kementerian Kesihatan akan membuat semakan dari semasa ke semasa terhadap definisi kontak rapat itu yang mana kita masih menggunakan definisi daripada WHO,” katanya.

Dr. Noor Hisham berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran yang meminta Kementerian Kesihatan menyemak semula penakrifan kontak rapat Covid-19 di negara ini. – MalaysiaGazette