Edson Arguinez , bapa kepada Edson Arguinez Junior melihat keranda mayat anaknya ketika upacara pengebumian. foto Reuters

RIO DE JANEIRO – Dua pegawai polis Brazil telah ditangkap di sini setelah kamera litar tertutup menunjukkan mereka menembak dua pemuda yang menaiki motosikal, sebelum membawa mereka ke dalam sebuah kereta.

Kedua-dua lelaki itu kemudian ditemui mati.

Kejadian yang berlaku pada hari Sabtu itu berlaku di pinggir bandar Rio di Belford Roxo – kawasan penempatan penduduk miskin.

Kawasan ini sering kali didakwa menjadi sasaran polis ke atas penduduk kulit hitam melalui serangan yang mengakibatkan kematian.

Pengkritik mendakwa Presiden Brazil Jair Bolsonaro, bekas kapten tentera, telah memberi kuasa kepada polis untuk menjadi lebih agresif daripada sebelumnya, memberikan sokongan penuh kepada mereka untuk mengeluarkan penjenayah di kawasan yang penuh dengan dadah.

Bolsonaro mengatakan “penjenayah di kawasan ini harus mati seperti lipas.”

Polis tentera Rio dalam satu kenyataan, “Sebaik sahaja (kami) mengetahui fakta-fakta, semua tindakan yang berkaitan kes ini disiasat dengan segera”.

Kedua-dua polis itu, “ditangkap dan dibawa ke Unit Penjara Polis Tentera Rio de Janeiro.

Malah, senjata mereka dirampas dan telah disoal siasat.

Dalam video itu, yang kali pertama disiarkan menerusi siaran berita Brazil, Fantastico – sebuah motosikal yang ditunggang oleh dua lelaki melepasi polis.

Ketika berlalu, salah seorang anggota polis melepaskan tembakan ke arah lelaki itu dan mereka berdua terjatuh.

Dua anggota polis itu kemudian mengarahkan mereka berada di tepi jalan, menggari dua lelaki berkenaan ketika mereka berdiri.

Polis kemudian membawa mereka di belakang kereta dan salah seorangnya menunggang motosikal pemuda berkenaan.

Mangsa dikenal pasti sebagai, 20, dan Jordan Luiz Natividade, 18, ditemui mati tidak jauh dari kawasan mereka ditahan.

Menurut Fantastico, kedua-dua pegawai polis itu gagal memberi alasan punca mereka melepaskan tembakan ke arah motosikal itu. ]

Kedua-dua anggota polis itu mendakwa membebaskan dua lelaki itu sejurus selepas membawa mereka ke dalam kereta, setelah menyedari tidak ada masalah dengan mereka atau motosikal yang ditunggang. – MalaysiaGazette