Tindakan licik dua pemuda yang giat mengkaburi mata polis dan mengedar dadah dengan motosikal sejak dua tahun lalu di kawasan Damansara Perdana dan Sungai Penchala akhirnya tumpas di tangan pihak berkuasa.

KUALA LUMPUR – Polis menahan dua lelaki warga tempatan yang disyaki mengedar ganja dalam serbuan di sebuah rumah di Damansara Perdana pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, hasil pemeriksaan pihaknya menemui satu balutan plastik yang mengandungi ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja seberat satu kilogram dianggarkan bernilai RM5,000 yang disimpan di dalam tong simpanan barang pada motosikal suspek.

“Motosikal jenis Yamaha LC disyaki milik suspek yang digunakan untuk kegiatan pengedaran itu turut dirampas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Nik Ezanee, hasil analisa rampasan ganja itu boleh diedarkan untuk kegunaan kira-kira 1,000 orang.

Katanya, polis telah melakukan risikan ke atas kedua-dua suspek yang berumur 19 dan 23 tahun itu sejak bebrapa bulan lalu dan siasatan lanjut mendapati mereka merupakan pengedar ganja tegar ganja yang telah menjalankan kegiatan itu selama dua tahun di Bandar Damansara Perdana dan Sungai Penchala.

“Saringan awal air kencing ke atas kedua-dua suspek menunjukkan keputusan positif ganja,” ujarnya.

Nik Ezanee berkata, kedua dua suspek kini direman selama tujuh hari dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 15 sebatan, ujarnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.