Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, tiba di Istana Kinta, Perak hari ini bagi menghadap, Sultan Nazrin Shah.

Kenderaan yang membawa Ahli Parlimen Marang itu memasuki perkarangan Istana Kinta pada pukul 10.50 pagi dan dijadualkan menghadap Sultan Perak pukul 11 pagi.

Sebelum ini, Hadi ada memohon untuk menghadap Sultan Nazrin bagi memaklumkan kedudukan Pas selepas krisis politik di negeri selesai dengan pelantikan menteri besar baharu, Datuk Saarani Mohamad, minggu lepas.

Ketika kemelut itu, Pas, yang mengumumkan ia tidak akan menyertai usaha pembentukan kerajaan baharu, mengarahkan tiga ADUN membatalkan pertemuan dengan Sultan Nazrin, ketika Istana Kinta sedang menguruskan hal sokongan kepada calon menteri besar pilihan UMNO.

Pas kemudian memohon ampun kepada Sultan Nazrin atas “kekhilafan” mereka.

Pas juga menyerahkan senarai calon untuk jawatan exco untuk pertimbangan Saarani, yang berkata pelantikan tertakluk pada persetujuan sultan.

Ahad lalu, Hadi dalam satu sesi dailog bersama media memaklumkan beliau telah mendapat perkenan daripada Sultan Nazrin untuk menghadap.

Bagaimanapun, ketika itu beliau enggan mendedahkan tarikh pihak Istana Perak menjemputnya bagi menghadap baginda. – MalaysiaGazette