Radzi Jidin
Dr Mohd Radzi Md. Jidin

KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pendidikan (KPM) diluluskan secara undian suara majoriti.

Keputusan itu diumumkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon tanpa cubaan undian belah bahagian dijalankan.

“Selari keputusan itu, wang berjumlah RM47,270,939,700 untuk kepala B63, anggaran perbelanjaan mengurus 2021 jadi sebahagian daripada jadual,” kata Rashid.

Pada bulan lalu, KPM menerima peruntukan terbesar membabitkan sebanyak RM50.4 bilion yang meliputi 15.6 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan kerajaan bawah Belanjawan 2021.

Perkara itu diumumkan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat pada November lalu.

Tengku Zafrul semasa membentangkan belanjawan pertama kali kerajaan Perikatan Nasional (PN) itu berkata peruntukan itu adalah pelaburan paling penting dalam usaha memastikan kualiti kehidupan lebih baik untuk generasi akan datang.

Katanya, antara inisiatif akan dilaksanakan ialah kerja penyelenggaraan dan pembaikan sekolah kerajaan serta sekolah bantuan kerajaan bagi memastikan suasana pembelajaran yang kondusif, dengan membabitkan peruntukan RM800 juta. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Sekolah vernakular untuk pribumi Iban, Kadazan, Melanau, Bidayuh, Bajau, dan Dayak demi hak kesamarataan dengan kaum pendatang Cina dan Keling.

Comments are closed.