Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias.

KUALA LUMPUR – Ops Lampu Isyarat Merah dilancarkan di seluruh negara bermula hari ini hingga 31 Disember ini bertujuan memberi pendidikan dan kesedaran kepada pengguna jalan raya supaya mematuhi lampu isyarat.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Deputi Komisioner Datuk Azisman Alias berkata, Operasi ini adalah bagi mengesan mereka yang melakukan kesalahan melanggar peraturan lampu isyarat merah terutama penunggang motosikal termasuk penghantar makanan dan barangan e-hailing dan pemandu kenderaan lain.

Menurut beliau, pihaknya mendapati ramai pengguna jalan raya terutamanya penunggang motosikal tidak mematuhi peraturan lalu lintas dengna tidak memberhentikan kenderaan mereka ketika lampu isyarat merah yang boleh menyebabkan kemalangan.

Jelas beliau, sebanyak 69,267 saman dikeluarkan kepada pemandu dan penunggang motosikal yang melanggar lampu merah pada tahun lalu.

“Mengikut pecahan penunggang motosikal dikeluarkan 32,657 saman, kereta melibatkan 29,873 saman, lori sebanyak 2,808 saman dan lain-lain kenderaan sebanyak 3,929 saman.

“Manakala dari Januari hingga November lalu sebanyak 52,170 saman dikeluarkan kesalahan melanggar lampu isyarat merah dengan pecahan motosikal (26,764 saman), kereta (20,751 saman), lori (2,208 saman) dan lain-lain kenderaan melibatkan 2,447 saman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, mereka yang melanggar lampu isyarat boleh diambil tindakan di bawah Kaedah 17 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 yang memperuntukkan denda maksimum RM2,000 atau dipenjara enam bulan. – MalaysiaGazette