ACP Zulkefly Yahya

KUALA LUMPUR – Dua lelaki warganegara Myanmar maut digilis trailer di Jalan Kinabalu tengah hari tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, kejadian itu berlaku semasa dua lelaki yang berusia 27 dan 20 tahun dalam perjalanan ke Selayang.

Ketika sedang melalui selekoh di Jalan Kinabalu, motosikal roda tiga yang dinaiki mangsa bergerak ke kiri jalan di atas garisanĀ  chevron.

“Laluan tersebut semakin mengecil menyebabkan roda sebelah kiri motosikal mangsa telah melanggar tembok batu lalu mereka terjatuh ke sebelah kanan berdekatan tayar kiri bahagian belakang treler menyebabkan kedua-dua mangsa digilis oleh kenderaan tersebut,” katanya menerusi kenyataan.

Kedua-dua mangsa meninggal di tempat kejadian.

Mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk bedah siasat.

Manakala pemandu trailer iaitu lelaki berumur 40 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana- mana balai polis berhampiran.-MalaysiaGazette